News & Events

SASAR TAMBAH 40 CAWANGAN BAHARU

KK Supermart & Superstore Sdn Bhd merancang untuk membuka 40 cawangan KK Concept Store baharu menjelang akhir tahun 2020 sebagai usaha untuk menambah bilangan outletnya di Lembah Klang selain mengukuhkan kedudukan syarikat peruncitan itu.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. KK Chai berkata, setiap cawangan baharu itu yang berkonsepkan gaya hidup atau lifestyle bakal menelan kos pelaburan kira-kira RM700,000, bergantung kepada beberapa faktor seperti lokasi, saiz dan kepadatan pengunjung di sesuatu kawasan.

Katanya, semua cawangan baharu itu bakal diuruskan sendiri oleh syarikat itu bagi memudahkan operasi dan pemantauan perniagaan yang dikendalikan ibu pejabat.

Katanya, buat masa ini KK Concept Store sudah mempunyai empat cawangan di sekitar Lembah Klang iaitu Bukit Bintang, Masjid Jamek, Setapak Sentral dan Sri Hartamas.

“KK Concept Store yang berkonsepkan gaya hidup menggabungkan pelbagai makanan dan minuman (F&B) sebanyak 40 peratus manakala 60 peratus pula ialah barang keperluan harian.

“Ia juga mempunyai kafe yang menyajikan makanan sedia untuk dimakan (RTE) merangkumi lebih 2,000 unit simpanan stok (SKU) di bawah satu bumbung,” kata Dr Chai ketika ditemui pada Majlis Pembukaan KK Concept Store di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Dr Chai berkata, konsep tersebut yang diperkenalkan pada Julai 2019 bertujuan memberikan kemudahan kepada pelanggannya untuk menikmati makanan dan minuman selain membeli-belah barangan keperluan harian di setiap cawangannya yang beroperasi 24 jam.

“KK Concept Store menawarkan pelbagai jenis minuman terkenal antaranya boba tea pelbagai perisa dan kopi serta aiskrim dengan harga yang berpatutan,” katanya.