Media Room

Peluang menangi baucar tunai bernilai RM100

Peluang menangi baucar tunai bernilai RM100
KK Chai optimis kerjasama KK Supermart dalam membantu kempen #FundAChildSurgery oleh My MedicalToday.MY dijangka memberikan manfaat kepada kanak-kanak yang memerlukan.
SHAH ALAM – KK Supermart dengan kerjasama My MedicalToday.MY menganjurkan peraduan ‘#FundAChildSurgery Beli, Derma dan Menang Merdeka’ menerusi kempen #FundAChildSurgery sempena sambutan bulan kemerdekaan ke-64 pada tahun ini.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, pelanggan KK Supermart boleh menikmati sehingga beratus produk kegemaran dan perkhidmatan yang membolehkan mereka secara langsung menderma kepada #FundAChildSurgery serendah RM1 ketika membuat pembayaran di kaunter untuk peluang memenangi baucar tunai bernilai RM100.

Menurutnya, seramai 100 pemenang bertuah akan dipilih secara rawak dan peraduan berlangsung dari 1 Ogos sehingga 30 September 2021.

“KK Supermart telah bersetuju menjadi platform bagi menjayakan misi #FundAChildSurgery oleh My MedicalToday.MY untuk membantu mengubah hidup serta memberi impak kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Saya berkeyakinan nilai wang ringgit Malaysia mampu memberi impak sosial kepada kanak-kanak dengan mencipta sebuah kepercayaan yang kuat daripada pelanggan kami. Kami menyeru anda untuk menderma serendah RM1 kepada #FundAChildSurgery,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelanggan yang berminat untuk menyertai peraduan itu perlu mengikuti tiga langkah yang disediakan.

Menurutnya, mereka hanya menderma serendah RM1 di kaunter pembayaran di mana-mana outlet KK Supermart dan menggunakan resit pembelian untuk mengaktifkan penyertaan dengan mendaftar secara dalam talian (online) ke www.medicaltoday.my

“Mereka hanya perlu menjawab satu soalan mudah yang tertera di laman web tersebut,” katanya.