News & Events

KK SUPER MART TAWAR DISKAUN 70 PERATUS

KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) menawarkan potongan harga sehingga 70 peratus melibatkan 9,000 barangan sempena pembukaan rasmi cawangan ke-420 di Residensi Sky Awani, Sentul Pasar, Kuala Lumpur kelmarin.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, tawaran berkenaan berlangsung selama tujuh hari bermula semalam sehingga 12 November 2019.

KK Chai berkata, pembukaan cawangan terbaru itu bukan sahaja memenuhi keperluan harian lebih 4,000 penduduk di Residensi Sky Awani malah ia juga memberi manfaat kepada komuniti di sekeliling kawasan perumahan berkenaan.

“Antara barangan yang ditawarkan dengan potongan harga tidak masuk akal itu ialah air minuman dalam tin sehingga 55 peratus dan pelbagai jenis produk penjagaan diri sebanyak 40 peratus,” katanya pada majlis pembukaan cawangan KK Super Mart ke-420 di Residensi Sky Awani, Sentul Pasar, Kuala Lumpur kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Urusan SkyWorld, Datuk Ng Thien Phing. Menurutnya, pasar raya yang beroperasi 24 jam itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain seperti tambah nilai kad prabayar, fotokopi, bayaran bil utiliti dan kemudahan e-dompet.

Dalam pada itu, beliau berkata, KK Super Mart di Residensi Sky Awani merupakan kedai pertama yang dibuka pada bulan ini dan 10 buah kedai berjaya dibuka pada Oktober lalu.

“Kami sasar buka cawangan baharu pada setiap minggu sebanyak tiga hingga empat buah.

“Menjelang suku ketiga 2020, kami optimis sasaran membuka 500 cawangan KK Super Mart berjaya dicapai,” katanya.