News & Events

KK SUPER MART RINGAN BEBAN 300 KELUARGA

KK Super Mart telah memberi sumbangan kepada 300 keluarga miskin B40 di sekitar Kuala Lumpur sempena Deepavali.

Sumbangan merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah Inisiatif Wilayah Peduli.

Pengerusi Eksekutif KK Group, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, sumbangan bertujuan meringankan beban penerima semasa membuat persediaan menyambut Deepavali.

“KK Super Mart memperuntukkan hampir RM30,000 nilai sumbangan dalam bentuk barangan keperluan seperti beras, gula, minyak masak, tepung, biskut dan sebagainya.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula memberikan sumbangan dalam bentuk wang tunai kepada keluarga terlibat,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Amal Deepavali di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad dan Pengurus Besar KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd, Tee Kok Hiem.

Beliau berkata, pemilihan penerima dibuat secara rawak oleh DBKL melalui senarai e-kasih melibatkan orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, anak-anak yatim dan warga emas.