News & Events

KK Karate-Do Gojukai sasar lebih ramai bakat muda

KUALA LUMPUR – Kejohanan Antarabangsa KK Karate-Do Gojukai menyasarkan lebih ramai peserta tahun depan kerana dilihat mampu menjadi platform untuk membangunkan bakat muda melalui sukan mempertahankan diri itu.

Penasihat Persatuan Karate Do Goju Kai Selangor, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, bagaimanapun penyertaan bertambah setiap tahun berbanding hanya 100 sahaja pada kali pertama penganjuran.

KK Chai yang juga Pengerusi Eksekutif KK Supermart & Superstore Sdn Bhd berkata, seramai 457 peserta mendaftar tahun ini berbanding 334 peserta tahun lalu.

“Setiap tahun KK Supermart sentiasa komited dan memberi sokongan kepada Persatuan Karate Do Goju Kai Selangor untuk terus menganjurkan Kejohanan Antarabangsa KK Karate Do Goju Kai.

“Wang ringgit bukan segalanya tapi niat untuk menyokong sesuatu kebaikan itu paling diutamakan,” katanya selepas berlangsung Kejohanan KK Karate-Do Goju-Kai Peringkat Antarabangsa 2019 Kali Ke-11 di Grand Hall Space Rubix, Puchong pada Sabtu dan Ahad lalu.

Beliau berkata, kejohanan itu turut menerima penyertaan dari luar negara termasuk Thailand, India, Nepal, Sri Lanka, Indonesia dan Singapura.

“Kejohanan mempertandingkan dua acara iaitu Kata dan Kumite kategori lelaki dan wanita. Penyertaan membabitkan 33 persatuan dari Selangor, Pahang, Perak, Sarawak, Terengganu, Johor, Penang, Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu.

“Setiap acara terbuka untuk disertai semua peringkat umur bermula seawal enam tahun dan sebanyak 280 pingat telah dipertandingkan. Peserta turut menerima baju T, pingat, sijil, cenderahati dan makanan,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini 11 syarikat vendor menyokong kejohanan selain tajaan daripada beberapa syarikat swasta.