CSR

Kisah Pn.Fatimah & Wolf [September 15]

Semalam saya berpeluang mengenali Pn.Fatimah. Orangnya ceria, merendah diri & bersemangat waja. Pn.Fatimah menyara 5 orang anak yang masih bersekolah dan suami yang mempunyai masalah kesihatan kencing manis, slip-disc dan kaki yang bermasalah membuatkan suaminya berjalan bertongkat. Mereka sekeluarga menetap di dalam kedai dengan sewa RM800 sebulan setelah tunggakan rumah lama yang didiami selama 16 tahun gagal dibayar ketika musim PKP lalu. Baru-baru ini kisahnya mendapat liputan dari akhbar Sin Chew Daily dan mendapat perhatian masyarakat apabila beliau tanpa dirancang memelihara seekor anjing yang tercedera di hadapan rumahnya. ‘Wolf’ diberi nama.

Menurutnya, simpati dengan nasib malang Wolf ini maka Pn.Fatimah dan anak memberi makan dan minum setiap hari sehingga Wolf pulih. Umpama menyatakan tanda terima kasih maka Wolf ENGGAN BEREDAR dan menjadi guard untuk keluarga Pn.Fatimah. Berat untuk menerima Wolf walaupun dah berpuluh kali menghalau dengan bermacam cara namun kelibat Wolf masih juga kelihatan. Paling kurangpun Wolf menyorok di bawah kenderaan di bengkel kenderaan berhadapan rumah Pn.Fatimah. Menemani anak ke sekolah, menjaga rumah dari anjing liar yang lain, tidak berak merata dan kencing di kawasan persekitaran rumah…itulah rutin harian Wolf sebagai tanda terima kasih si Wolf kepada keluarga Pn.Fatimah. Terharu rasanya..namun itu semua aturan Tuhan.

Pn.Fatimah sedar beliau sebagai muslim mempunyai batasan dalam hal agama HALAL & HARAM. Beliau usahakan juga pamerkan iklan kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi Tuan Wolf. Tuhan menguji apabila Wolf ditangkap pihak majlis disebabkan aduan penduduk setempat. Tanpa berfikir panjang Pn.Fatimah ke pusat penempatan anjing….beliau sedar jika lambat bertindak maka Wolf bakal di’tidurkan’ dalam tempoh 7 hari. Kompaun RM1 ribu diluar kemampuan. Apalah sangat gaji kecil seorang ibu yang menyara keluarga melalui upah cuci rumah dan karpet. TUHAN Maha Kuasa…Pn.Fatimah mendapat job yang berganda pada minggu tersebut. Dan lebih mengharukan rayuan kompaun dikurangkan menjadi RM150 sahaja. Tanpa berlengah Pn.Fatimah membalut belakang kenderaan miliknya UNSER dengan plastik dan suratkhabar. Menyediakan kotak agar urusan pengambilan Wolf sempurna.

Menurut Pn.Fatimah, pagi semalam Wolf dihantar ke klinik veterina untuk diberi vaksin & dimandulkan. Ms.Samantha seorang individu yang baik hati dari NGO pecinta kucing dan anjing sudi menghantar Wolf ke pusat veterinar. Perbelanjaan pula adalah hasil sumbangan daripada beberapa individu yang berhati mulia. Pn.Fatimah terharu. Beliau tidak meminta wang atau sumbangan daripada sesiapa namun benarlah kata orang…masyarakat Malaysia masyarakat prihatin walau berbeza bangsa dan agama. Kehadiran kami berdua mewakili Datuk Seri KK Chai dan KK SUPER MART juga membuktikannya. Bertanya saya kepada beliau perancangan seterusnya berkenaan Wolf. Katanya “Buat masa ini biarlah saya jaga dulu sehingga Wolf sihat. Namun akan diusahakan juga untuk Wolf mendapat tuan yang sebenarnya.“ Menurutnya lagi, dia gembira jika perkhidmatan cuci karpet & rumah mendapat sambutan agar hasil pendapatan itu dia dapat menyara keluarganya. “Saya sendiri tidak tahu apa bantuan yang saya perlukan kerana saya tahu Tuhan memberi saya cukup sifat sihat untuk masih mampu menyara keluarga. Terima kasih saya ucapakan kepada Datuk Seri KK atas keperihatinan.”. 

Salam perkenalan dari kami Pn.Fatimah…. Kami di sini mendoakan agar Pn.Fatimah dimurahkan rezeki berpanjangan dan dipermudahkan segala urusan. Teruskanlah berbakti kepada keluarga dan berbuat baik kepada makhluk Tuhan.