News & Events

Cari pelbagai kaedah kurangkan warga miskin bandar

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan meletakkan sasaran mengurangkan kadar kemiskinan golongan berpendapatan rendah atau B40 dalam satu pelan jangka masa panjang. Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya cuba mencari pelbagai kaedah untuk menyelesaikan masalah komuniti miskin di ibu kota dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Jika boleh, beliau mahu jumlah penerima bantuan sumbangan miskin berkurangan setiap tahun dengan taraf hidup dan pendapatan mereka diperbaiki dan kehidupan yang semakin berkualiti.

“Program hari ini merupakan usaha tahunan dengan kerjasama KK Supermart yang mana kita menyediakan sumbangan berbentuk barang keperluan kepada 300 keluarga miskin B40 yang dipilih secara rawak dari senarai e-Kasih memudahkan urusan persiapan Deepavali yang akan disambut 27 Oktober ini.

“Selepas ini kita akan mendekati komuniti India di parlimen lain di bawah Wilayah Persekutuan nanti dan insya Allah tahun depan kita menghulurkan bantuan kepada lebih ramai lagi.

“Tetapi kalau boleh tahun depan saya harapkan jumlah penerima bantuan ini semakin berkurangan supaya memastikan mereka yang miskin keluar dari kepompong kekurangan dan meraih pendapatan baik menerusi pelan perancangan jangka panjang peluang pekerjaan yang sedang difokuskan kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Katanya, walaupun program pemberian bantuan sedemikian perlu untuk mengurangkan beban kos sara hidup golongan miskin semasa persiapan musim perayaan, beliau tidak mahu ia terus menjadi budaya tetap sebaliknya mahu menyediakan penyelesaian jangka panjang membantu mereka. Terdahulu beliau menyampaikan Sumbangan Amal Deepavali Komuniti Kuala Lumpur 2019 melibatkan barang keperluan asas serta duit raya RM150 setiap seorang untuk 300 penerima di Menara Bank Rakyat. Tambah Khalid, selagi mana bantuan kemiskinan diperlukan selagi itu kementerian akan melaksanakan inisiatif murni tersebut bukan sahaja semasa Deepavali tetapi juga diteruskan untuk musim Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Krismas.

Katanya, kementerian prihatin dengan masalah warga kota yang kurang berkemampuan akibat peningkatan kos sara hidup termasuk kaum India dan pelbagai inisiatif diatur untuk mempertingkat kualiti kehidupan mereka supaya lebih selesa dan terbaik.

“Menyedari hakikat ini kementerian memberi fokus dan mengutamakan aspek kebajikan warga wilayah menerusi program bawah Wilayah Peduli 2019 seperti program jati diri,bantuan Van Wilayah, bas percuma GoKL, bantuan peralatan kesihatan dan sebagainya yang banyak memanfaatkan warga wilayah KL terutama sekali golongan miskin dan ia akan diteruskan,” tegasnya. Khalid juga mengulas mengenai bazar Deepavali yang diperuntukkan kali ini kepada peniaga dalam kalangan komuniti India di Little India Brickfields, Lebuh Ampang dan Masjid India.

Katanya kesemua gerai disediakan menerusi permohonan dalam talian terus kepada DBKL tanpa campur tangan orang tengah mengelak ketirisan dan salahguna premit perniagaan itu. Beliau turut menyatakan bahawa akan turun padang bersama penguat kuasa DBKL untuk memantau aktiviti dan perniagaan bazar Deepavali supaya berjalan lancar tanpa masalah termasuk untuk komuniti India melibatkan harga barang sepanjang musim ini.-MalaysiaGazette